Mar 18, 2020 - FASDi FA Selangor, keselamatan pemain, pegawai dan staf yang berlatih dan bekerja di FA Selangor sentiasa diutamakan.
Pelbagai usaha dijalankan dalam memastikan kawasan gimnasium, bilik persalinan, lounge pemain, pejabat dan fasiliti lain pusat latihan FAS sentiasa dalam keadaan yang baik dan bersih.
Pihak pengurusan telah mengeluarkan surat pekeliling untuk makluman dan kerjasama semua pemain, pegawai dan staf mengenai status operasi pejabat, sekatan pergerakan ke luar negara selain penguatkuasaan larangan pergerakan antara negeri bagi mengelakkan penularan wabak ini.
Menurut Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon, pihak FAS sentiasa komited untuk mengelakkan penularan wabak ini dari merebak, bukan sahaja di kalangan pemain dan staff, namun untuk seluruh rakyat Selangor dan Malaysia.
“Penularan wabak Covid-19 adalah perkara yang dipandang serius oleh pihak pengurusan FAS. Kami sedar bahawa ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang mudah dan kami terus bekerja keras bagi memastikan keselamatan pemain dan staff kami,” jelas Dr Johan.
“Biarpun pusat latihan FAS ditutup buat masa ini, pihak kejurulatihan telah memberikan jadual latihan kecergasan dan pelan pemakanan untuk pemain-pemain amalkan setiap hari dalam memastikan mereka kekal cergas. Kami juga turut mengingatkan para pemain dan staf agar mematuhi arahan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan Malaysia dan langkah-langkah pencegahan yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” tambahnya.
Selain itu, media sosial FA Selangor juga bakal memberikan info terkini mengenai penularan wabak ini di Malaysia, khususnya di negeri Selangor dari semasa ke semasa.
FAS mengharapkan agar semua penyokong Red Giants terus memainkan peranan masing-masing, menjaga kebersihan diri dan mengamalkan langkah pencegahan dari penularan wabak ini.
Sama-sama kita doakan agar kita semua sentiasa terpelihara daripada jangkitan wabak ini.
Kita adalah satu.